ABDUL Basith. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Basith. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Puchong: Pandemik Covid-19 ternyata memberi impak kepada warga Selangor apabila 5,000 asnaf didaftarkan tahun lalu.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) Abdul Basith Hamid berkata, asnaf yang didaftarkan terkesan ekoran peningkatan kos sara hidup selain pengurangan pendapatan mendadak.

Menurutnya, Klang, Petaling dan Hulu Langat antara tiga daerah di Selangor yang merekodkan jumlah penerima bantuan zakat tertinggi.

Beliau berkata, tiga kawasan ini menjadi lubuk ekonomi di Selangor dan tumpuan orang ramai bekerja namun terpaksa bergelut dengan kos sara hidup tinggi.

"Penerima dikategorikan sebagai miskin bandar kerana tinggal di lokasi yang memiliki sektor perindustrian, pentadbiran dan perniagaan menyebabkan kos hidup juga tinggi.

"Tahun lalu, LZS mendaftarkan 5,000 asnaf dan mereka adalah golongan yang terjejas akibat Covid-19," katanya ketika ditemui selepas Majlis Serahan Bantuan Ramadan dan Raya LZS 2021, di sini, hari ini.

Menurutnya, tahun ini LZS menyalurkan RM28 juta bantuan zakat kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf.

"Zakat individu, perniagaan dan harta ini meningkat tahun lalu dan memberikan lebih ramai asnaf fakir, miskin dan mualaf dibantu," katanya.

Beliau berkata, semakan status Bantuan Ramadan dan Raya 2021 boleh dibuat menerusi laman web, ezo.zakatselangor.com.my atau hubungi Talian Zakat Selangor 1300884343.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 3:02 PM