MAJLIS simbolik penyampaian bantuan Ramadan dan Syawal LZS diadakan di hadapan 100 orang penerima dalam satu majlis yang diadakan di Kem Bumi Jati, Jalan Kebun. FOTO Ihsan LZS
MAJLIS simbolik penyampaian bantuan Ramadan dan Syawal LZS diadakan di hadapan 100 orang penerima dalam satu majlis yang diadakan di Kem Bumi Jati, Jalan Kebun. FOTO Ihsan LZS
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sebanyak RM31.9 juta bantuan Ramadan dan Syawal diperuntukkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk diagihkan kepada 68,311 asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh negeri ini.

Ketua Pegawai Operasi LZS Ahmad Fadhil Hassan berkata, peruntukan itu membabitkan 23,578 ketua keluarga asnaf fakir dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM11,564,750 dan 39,933 ketua keluarga asnaf miskin dengan jumlah agihan RM18,568,150.

Katanya, RM1,750.050 lagi diperuntukkan kepada 4,797 asnaf mualaf dengan setiap penerima mendapat bantuan zakat antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan keluarga.

"Bantuan berkenaan mula disalurkan hari ini sama ada melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima atau menggunakan kaedah baucar tunai mahupun serahan tunai.

"Semakan status bantuan ini boleh dibuat secara dalam talian di ezo.zakatselangor.com.my," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pada tahun ini tiga daerah mencatatkan jumlah peruntukan agihan zakat tertinggi bagi bantuan Ramadan dan Syawal iaitu daerah Petaling, Klang dan Hulu Langat.

"Daerah Petaling dengan peruntukan agihan zakat sebanyak RM6,228,900 kepada 13,045 asnaf fakir, miskin dan mualaf.

"Dua lagi daerah masing-masing Klang dengan jumlah agihan sebanyak RM5,553,300 yang diagihkan kepada 12,018 asnaf dan Hulu Langat yang memperuntukkan sebanyak RM4,702,500 kepada 9,953 asnaf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 1:46 PM