Saipolyazan menunjukkan kadar bayaran zakat fitrah yang ditetapkan bagi umat Islam di Selangor bulan Ramadan tahun ini. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Saipolyazan menunjukkan kadar bayaran zakat fitrah yang ditetapkan bagi umat Islam di Selangor bulan Ramadan tahun ini. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Ruwaida Md Zain


LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) menjangkakan bilangan asnaf di Selangor akan meningkat sehingga 10,000 keluarga pada penghujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan Mat Yusop berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan jumlah itu bertambah kerana ramai yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagi mengekang penularan Covid-19.

“Secara logiknya dari segi ekonominya, berdasarkan statistik oleh pihak kerajaan dan pengkaji ekonomi, kita terkesan dan menjangkakan bahawa kutipan zakat di negara ini juga akan berkurangan.

“Jika sebelum ini (sebelum PKP), kita jangkakan sehingga hujung tahun ini jumlah keluarga asnaf yang akan berdaftar dengan LZS adalah 70,000 termasuk keluarga fakir, miskin, mualaf.

“Tetapi dengan keadaan yang berlaku ketika ini, kita menjangkakan jumlah akan bertambah lagi 10,000, bermakna pada hujung tahun, jumlah keluarga fakir, miskin, mualaf adalah 80,000 keluarga,” katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Hadir sama Ketua Divisyen Operasi Agihan LZS Abdul Basith Hamid dan Ketua Divisyen Kutipan LZS Sabirin Sarbini.

Saipolyazan berkata, bagi menangani situasi ini, LZS akan melihat semula bantuan yang disediakan di samping pihak kutipan yang menjalankan program memastikan kutipan akan mencapai sasaran.

“Kita cuba mencapai jumlah disasarkan untuk tahun ini walaupun agak sukar tetapi kita cuba mengutip sebanyak mana zakat untuk diagihkan.

“Pihak agihan sedang mengkaji semula cara memaksimumkan penerima dengan wang kutipan yang kita ada dan kaedah untuk memastikan mereka yang kita jangka terkesan akan menerima manfaat daripada LZS,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, LZS tidak menjangka akan menerima begitu banyak permohonan apabila bantuan Covid-19 dibuka baru-baru ini.

“Jadi apa yang LZS buat, kita ada wang agihan sedia ada, walaupun mereka tidak dapat terus dari peruntukan RM15 juta yang disediakan, kita menggunakan wang agihan untuk membantu mereka.

“Keadaan itu dapat dilihat dengan jelas, mereka yang selama ini miskin, jatuh kepada fakir, begitu peniaga juga terkesan, di mana LZS keluarkan RM9.5 juta untuk bantu golongan terbabit.

“Banyak juga syarikat yang selama ini kakitangannya membayar zakat dengan cara potongan gaji tetapi terkesan.

“Mengikut permohonan zakat setakat ini, kita cuba bantu lebih 2,000, kita kembali bantu mereka sebab selama ini mereka bayar zakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 3:45 PM