GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Polis memburu seorang lelaki yang disyaki mencuri ekzos kereta Honda Accord yang diletakkan di hadapan sebuah rumah di Pandan Perdana di sini, semalam.

Kejadian itu disedari pemilik apabila mendengar bunyi pelik ketika menghidupkan enjin kereta pada 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pengadu mendakwa meletakkan kereta milik syarikat di hadapan rumah dalam keadaan baik pada 9 malam.

"Namun ketika ingin menghantar anak ke sekolah, dia mendengar bunyi pelik semasa kereta dihidupkan.

"Pengadu membuat pemeriksaan dan mendapati ekzos kereta tiada. Pengadu mengesyaki ekzos dicuri lalu melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah jirannya dan mendapati ekzos kereta dicuri oleh seorang lelaki," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata, pengadu tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 8:31 PM