GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Tiga individu ditahan polis kerana disyaki terbabit kes memukul dan mengugut tiga individu lain di Jalan Pandan di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua wanita termasuk warga asing dan seorang lelaki berusia antara 34 hingga 52 tahun itu ditahan semalam.

Beliau berkata, sebelum itu polis menerima laporan kejadian daripada seorang wanita berusia 45 tahun pada Jumaat lalu.

Menurutnya, mangsa yang juga kerani bank mendakwa diserang suspek semasa berada di lokasi kejadian pada jam 3.30 petang.

"Mangsa bersama suami dan sepupu suaminya di dalam kereta sebelum didatangi ketiga-tiga suspek yang menariknya keluar dari kenderaan lalu memukulnya.

"Suspek turut menyerang sepupu suami menyebabkan masing-masing mengalami kecederaan di kepala, muka, tangan serta kaki.

"Suami mangsa yang cuba menghalang suspek bagaimanapun tidak cedera, cuma patah cermin mata," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan itu, beliau berkata, polis menjalankan siasatan dan menahan kesemua suspek di sekitar Pandan Jaya di sini, kira-kira jam 6 petang.

Katanya, semakan mendapati suspek lelaki mempunyai rekod jenayah lampau manakala dua suspek wanita tiada rekod lampau.

"Siasatan awal mendapati, punca kejadian dipercayai akibat caci-mencaci antara pengadu dan suspek wanita," katanya.

Mohamad Farouk berkata, suspek wanita tempatan direman dua hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 dan Seksyen 42 kanun sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 3:52 PM