FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Polis menahan dua lelaki yang cuba mencuri tabung ekzos kenderaan di kawasan parkir sebuah hotel di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 24 dan 25 tahun itu ditahan di Sungai Besi pada jam 11 malam selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

"Polis berjaya merampas dua tabung ekzos, dua penyambung tabung ekzos, pelbagai peralatan membuka ekzos, gergaji besi bermotor dan sebuah kereta jenis Proton Iriz.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek aktif mencuri tabung ekzos bagi mendapatkan besi platinum sebelum dijual di pasaran gelap," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, suspek juga mengaku sudah beberapa kali mencuri tabung ekzos di sekitar Ampang dan Kajang.

"Siasatan lanjut diteruskan untuk mengenalpasti penglibatan suspek bagi lain-lain kes di dalam daerah Ampang dan daerah luar.

"Polis akan memohon teman terhadap kedua-dua suspek bagi membantu siasatan sebelum ujian saringan air kencing dilakukan," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang pernah menjadi mangsa kepada modus operandi itu diminta tampil untuk membuat laporan polis untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A (1) dan 511 Kanun Keseksaan," katanya.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 41 saat yang memaparkan dua suspek cuba mencuri tabung ekzos kenderaan di kawasan parkir sebuah hotel di sini.

Salah seorang daripada suspek memberi alasan kononnya sedang membaik pulih kenderaan tersebut, sebelum mereka melarikan diri selepas menyedari aktiviti jenayah mereka dirakam oleh orang awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 11:45 AM