TAN Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas  Datuk Seri Najib. FOTO Saifullizan Tamadi
TAN Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Datuk Seri Najib. FOTO Saifullizan Tamadi
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Peguam bela Datuk Seri Najib Razak menyatakan, pihak pembelaan perlu menunjukkan bahawa pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah pelaku sebenar yang bertanggungjawab melakukan penyelewengan dalam syarikat pelaburan strategik itu, tetapi yang terpaksa berdepan pendakwaan adalah bekas perdana menteri itu.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pertuduhan yang dihadapi Najib membabitkan isu sangat kompleks, berikutan itu pembelaan tidak akan mengikuti rentak pendakwaan dalam mengemukakan soalan kepada saksi (melalui prosiding soal balas).

"Ada sesetengah perkara yang mana kami perlu bertanyakan kepada saksi kerana ia membabitkan isu yang sukar dan dokumen yang banyak.

"Ini bukannya kes yang boleh dibuka dan ditutup macam itu sahaja," katanya.

Muhammad Shafee bagaimanapun berkata beliau mengambil maklum mengenai teguran Hakim Datuk Lawrence Collin Sequerah berhubung cara pembelaan menyoal balas bekas saksi pendakwaan ke-13, iaitu Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mempersoalkan dan membantah soalan dikemukakan peguam Datuk Hariharan Tara Singh berhubung peranan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

TIA adalah syarikat pelaburan yang kemudian ditukar nama kepada 1MDB pada 25 September 2009.

Sri Ram berkata, tindakan pembelaan itu hanya membazirkan masa mahkamah apabila bertanyakan soalan dengan mengemukakan dokumen yang sudah dibangkitkan dan dijawab oleh saksi.

"Yang Arif, saya sudah lama bersabar, di dalam hal ini perkara yang ditanyakan kepada saksi mesti relevan.

"Mereka (pembelaan) sudah menyoal soalan sama kepada Datuk Shahrol Azral sebelum ini dan persoalan itu sudah pun diperjelaskan.

"Saya cuma mahu menjimatkan masa mahkamah… ini hanya membuang masa sahaja. Material yang sudah dikemukakan sebelum ini kini dibangkitkan berulang kali," katanya.

Sementara itu, Sequerah berpandangan persoalan yang dibangkitkan peguam tidak akan berkesudahan jika terus mengguna pakai kaedah yang sama iaitu bertanyakan persoalan yang sudah dijawab sebelum ini.

Beliau berkata, peguam bela berulang-ulang mengemukakan soalan yang mana Ismee bukan dalam kedudukan untuk menjawabnya, malah persoalan itu sudah dijawab oleh Shahrol Azral.

Katanya, pembelaan tidak sepatutnya menyoal saksi dengan memintanya mengesahkan apa yang sudah tertulis dalam dokumen.

"Ia nampaknya tidak berkesudahan …dokumen ini sudah direkodkan dan tidak dipertikaikan malah saksi juga bukan berada dalam kedudukan untuk mengesahkan apa yang dirujuk kepadanya.

"Kamu hanya soal apa yang kamu ingin nyatakan dan selebihnya kamu kemukakan dalam hujahan kamu, "katanya.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 6:02 PM