GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu saudara perempuannya.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh berusia 46 tahun dan tidak bekerja itu mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 14 tahun sembilan bulan di sebuah rumah di Marang, jam 4 petang, 16 Januari lalu.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan dan dua sebatan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap iaitu pada 17 Januari lalu.

Selain itu, tertuduh turut diarahkan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun mengikut Seksyen 27 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 4:16 PM