SHAHRIR Abdul Samad. FOTOR  Arkib
SHAHRIR Abdul Samad. FOTOR Arkib
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad, meluahkan rasa kecewa dan mengakui berasa malu dengan polemik yang menimpa Umno Johor membabitkan jawatan Menteri Besar Johor.

Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu berkata, beliau juga berasa malu untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang bermula Rabu ini walaupun dijadualkan menjadi jurucakap Umno Johor.

"Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali di bawah kepimpinan Datuk Seri Hasni Mohammad.

"Sepanjang kempen saya ketawakan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai MB (Menteri Besar). Umno pula sudah pasti dengan Datuk Hasni sebagai MB.

"Tapi itu tidak cukup kuat dan Umno Johor tidak mampu lakukan apa-apa. Jadi, saya malu hendak ke Perhimpunan Agung Umno Malaysia hujung minggu ini.

"Boleh dapat mandat rakyat, tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan. Taklah sehebat mana Umno Johor," katanya dalam muat naik di akaun Facebooknya, malam tadi.

Semalam, Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dilaporkan mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor.

Hasni yang juga Pengerusi Umno Johor, dilaporkan berkata ia berikutan orang muda mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

Kenyataan terbaharu Hasni yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut itu, seolah-olah mengesahkan khabar angin yang menyatakan nama lain bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Ia susulan khabar angin terbaharu yang menyebut kini timbul nama lain bagi jawatan Menteri Besar.

Nama lain yang disebut-sebut dilantik sebagai Menteri Besar adalah Datuk Onn Hafiz Ghazi, bekas EXCO Belia dan Sukan Johor yang juga pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi, yang juga pemenang DUN Rengit.

Semalam, media melaporkan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dipercayai menitahkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menghadap baginda.

Dalam pada itu, Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, beliau hanya mampu terdiam apabila dimaklumkan tentang polemik terbaharu membabitkan Hasni dan jawatan Menteri Besar yang sepatutnya menjadi miliknya.

"Mula-mula cerita itu sampai ke saya secara bisik-membisik. Saya hanya terdiam.

"Kemudian adanya kenyataan media oleh Hasni. Bahasanya teratur dan sungguh halus.

"Tapi ia mengesahkan secara tersirat akan ada pengganti kepada dirinya bagi jawatan Menteri Besar Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 8:53 AM