SHAHRIR Samad. FOTO BERNAMA
SHAHRIR Samad. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad menyatakan beliau mempunyai prinsip tersendiri khususnya dalam menyuarakan kekecewaan berhubung polemik pelantikan Menteri Besar Johor ke-19.

Shahrir berkata, banyak pihak mempersoalkan tindakannya itu seolah-olah mempertikai kuasa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam menentukan siapa selayaknya menjadi Menteri Besar ke-19.

"Apabila saya menyatakan saya malu untuk menghadiri Perhimpunan Agong Umno (PAU) berikutan Datuk Seri Hasni Mohammad diketepikan sebagai Menteri Besar Johor, saya ditanya mengapa saya seperti menyoal kuasa raja untuk menentukan siapa yang dalam pertimbangan tuanku layak memegang jawatan itu.

"Mereka bertanya adakah saya tak berpihak kepada kuasa raja. Namun saya menjawab, dalam soal hubungan antara parti dengan raja, saya mempunyai pendirian saya sendiri.

"Tidak setiap masa, saya menyokong parti dalam soal ini dan tidak setiap masa, saya menyokong raja pula.

"Contoh, ketika krisis perlembagaan berikutan Yang di-Pertuan Agong tidak berkenan kepada undang-undang yang telah Parlimen luluskan, saya bersama parti, namun apabila parti pula nak mansuhkan Timbalan Setia Johor (JMF), saya melobi Menteri Besar Datuk Ghani Othman untuk minta ditarik balik rang undang-undang itu. Maka selamatlah suatu warisan negeri Johor," katanya pada kenyataan dimuat naik di akaun Facebooknya.

Semalam, Shahrir dilaporkan meluahkan rasa kecewa dan mengakui berasa malu dengan polemik yang menimpa Umno Johor membabitkan jawatan Menteri Besar Johor.

Shahrir dilaporkan berkata, beliau juga berasa malu untuk menghadiri PAU yang bermula hari ini walaupun dijadualkan menjadi jurucakap Umno Johor.

"Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali di bawah kepimpinan Datuk Seri Hasni Mohammad," katanya.

Dalam pada itu, Shahir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu berkata, beliau turut membantu merapatkan hubungan antara parti dan istana apabila berlaku krisis Perlembagaan.

"Ketika diarahkan parti kepada kerajaan negeri supaya Almarhum Sultan Iskandar Ismail dipulaukan, saya bawa jawatankuasa bahagian Umno Johor untuk berhari-raya dengan Almarhum Tuanku di Istana Bukit Serene.

"Jadi, saya bukan 'royalist' atau tegar Umno. Saya ada prinsip saya sendiri sebagai seorang demokrat. Kuasa, bagi saya, haruslah bersendalkan kepada kebijaksanaan," katanya.

Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa kepentingan.

"Sokong atau setuju, tidak sokong atau tidak setuju dengan saya, tidak menjadi hal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 12:52 PM