POSTER khas Hasni yang tular.
POSTER khas Hasni yang tular.
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Susulan siapa yang akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor, #hasni4mbj (Hasni For Menteri Besar Johor) mula trending di media sosial sejak malam tadi.

Ia selepas khabar angin Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hasni Mohammad tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar mula tersebar sejak petang semalam.

Meninjau laman sosial terutama akaun Facebook dan Twitter pemimpin dan penyokong BN mendapati, poster khas Hasni dengan tanda pagar #hasni4mbj yang dikongsi mereka mulai tular.

Akaun Facebook rasmi UMNO Johor turut memuat naik poster Hasni dengan tanda pagar #hasni4mbj.

Penyokong termasuk netizen turut bersatu hati menyatakan sokongan kepada Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor.

Semalam, Hasni yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dilaporkan mencadangkan pucuk pimpinan parti memilih orang muda untuk memimpin Johor.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor, dilaporkan berkata ia berikutan orang muda mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

Kenyataan terbaharu Hasni yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut itu, seolah-olah mengesahkan khabar angin yang menyatakan nama lain bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

Ia susulan khabar angin yang menyebut kini timbul nama lain bagi jawatan Menteri Besar iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi, bekas EXCO Belia dan Sukan Johor yang juga pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 1:57 PM