Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: "Sebaik melihat api marak pada sebuah kereta berdekatan pam minyak, saya terus memecut keluar dari situ kerana risau ia akan meletup," luah Tuan Zaimah Raja Omar, 49.

Tuan Zaimah adalah antara saksi kejadian sebuah kereta terbakar di sebuah stesen minyak di sini, pada 8.30 pagi hari ini.

Menurutnya, dia yang baru sahaja sampai dengan kereta untuk mengisi petrol di stesen minyak berkenaan dan terkejut melihat kepulan api pada kereta berkenaan dan segera memandu keluar kerana risau api yang marak dengan cepat selain takut dengan bunyi letupan yang kuat.

"Saya terkedu seketika dan hanya melihat pekerja stesen minyak lari menyelamatkan diri, selain antara mereka yang membantu memadamkan api menggunakan alat pemadam api.

"Bagaimanapun, ia agak sukar dipadam sehinggalah pihak bomba tiba memadamkan kebakaran itu.

Anggota bomba memeriksa lokasi membabitkan kebakaran kereta dan pam petrol di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang hari ini. Foto Syaherah Mustafa
Anggota bomba memeriksa lokasi membabitkan kebakaran kereta dan pam petrol di sebuah stesen minyak di Rantau Panjang hari ini. Foto Syaherah Mustafa

"Saya juga melihat lelaki yang juga pemilik kereta terbabit berlari keluar dan dipercayai dia turut mengalami kecederaan pada kaki.

"Ia berlaku dengan sangat pantas, malah tiada yang berani mendekati kawasan ini kerana sedia maklum bahaya yang menanti, namun tidak ada yang mengalami kecederaan teruk," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 8.36 pagi sebelum terus ke lokasi kejadian.

"Sebaik sampai di lokasi, didapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah kereta sebelum api merebak ke sebuah pam petrol berhampiran.

"Kebakaran berjaya dikawal beberapa minit kemudian dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 11:45 AM