ANGGOTA bomba memeriksa kereta yang dibakar seorang lelaki di stesen petrol di Betong, hari ini. FOTO/BOMBA
ANGGOTA bomba memeriksa kereta yang dibakar seorang lelaki di stesen petrol di Betong, hari ini. FOTO/BOMBA
Mohd Roji Kawi


BERANG dituduh tidak membayar petrol, seorang lelaki membakar sebuah kereta dan dua motosikal di sebuah stesen minyak di Jalan Sie Meng Chan, Betong hari ini.

Sumber berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu tiba-tiba mengamuk selepas pekerja stesen itu menuduh dia tidak membayar petrol yang dibelinya.

Tidak puas hati dengan tuduhan itu, lelaki terbabit pergi ke bahagian bengkel di stesen petrol berkenaan lalu membakar sebuah kereta dan dua motosikal.

“Mujurlah kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh pekerja stesen minyak itu menggunakan empat alat pemadam api sebelum bomba tiba tidak lama kemudian,” katanya.

Lelaki terbabit bagaimanapun berjaya ditahan dan diserahkan kepada polis.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.53 pagi.

Beliau berkata, tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

“Setiba di lokasi kejadian, didapati kebakaran sudah berjaya dipadamkan,” katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 8:05 PM