BERNAMA

LEBIH 0.8 hektar kawasan hutan berhampiran stesen bawah kereta api funikular Bukit Bendera di Georgetown, dilaporkan terbakar pada tengah malam tadi iaitu kejadian kedua sejak Ahad lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 12.15 tengah malam tadi.

Beliau berkata, susulan itu, sebuah jentera bersama pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, api marak berikutan keadaan angin kuat dan kebakaran itu membabitkan pokok kecil serta daun kering dalam hutan tersebut. Apa yang menjadi masalah kepada bomba ialah tiada akses ke lokasi berkenaan (kebakaran) serta ia membabitkan kawasan cerun bukit.

“Kami perlu berjalan kaki ke lokasi kebakaran yang jaraknya hampir 100 meter dari stesen bawah kereta api funikular itu bagi menjalankan kerja pemadaman dan berulang alik untuk membawa bekalan air,” katanya, hari ini.

Menurutnya, bomba membuat kerja pemadaman menggunakan ‘jet shooter’ serta peralatan ‘forest fire’ dan pam racun galas bagi memadam serta mengawal kebakaran daripada merebak.

KEBAKARAN hutan keluasan dua hektar melibatkan pokok-pokok kecil dan daun-daun kering di Bukit Bendera, Jalan Bukit Bendera, Air Itam, Pulau Pinang. FOTO IHSAN BOMBA
KEBAKARAN hutan keluasan dua hektar melibatkan pokok-pokok kecil dan daun-daun kering di Bukit Bendera, Jalan Bukit Bendera, Air Itam, Pulau Pinang. FOTO IHSAN BOMBA

Jurucakap itu berkata, operasi memadam kebakaran itu turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera dan pihaknya berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan lain dalam tempoh 30 minit.

“Kebakaran dipadamkan sepenuhnya kira-kira sejam kemudian, namun bomba terpaksa memantau bagi memastikan bara api dipadamkan sepenuhnya kerana ia akan menyebabkan berlaku lagi kebakaran,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kebakaran itu.

Dalam kejadian jam 7 malam, Ahad lalu, kira-kira satu hektar kawasan hutan berhampiran landasan kereta api funikular Bukit Bendera antara stesen bawah dan tengah, terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 9:38 AM