JUSTIN (kanan, berdiri) dan Nur Amira (berdiri, kiri) bersama keluarga masing-masing selepas menerima scroll dan anugerah di Majlis Konvensyen Kali Ke-29 Politeknik Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
JUSTIN (kanan, berdiri) dan Nur Amira (berdiri, kiri) bersama keluarga masing-masing selepas menerima scroll dan anugerah di Majlis Konvensyen Kali Ke-29 Politeknik Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Hadiah menarik apabila dua penuntut yang menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum serta Anugerah Pengarah turut menerima sumbangan RM1,000 setiap seorang diberikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam bentuk simpanan SSPN.

Mereka adalah antara 4,223 graduan Politeknik Port Dickson yang menerima diploma pada Majlis Konvensyen Kali Ke-29 diadakan di Dewan Ehsan Water Park di sini, tadi.

Salah seorang penuntut bertuah terbabit, Justin Lim Kai Sheng, 26, yang menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Dan Kokurikulum berkata, dia memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang mengikuti pengajian jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Tenaga Hijau).

"Bagi saya setiap apa yang kita lakukan, kita perlu buat bersungguh-sungguh kerana itu tanggungjawab kita sebagai pelajar. Dalam masa sama, saya juga menghargai pengorbanan kedua ibu bapa serta pensyarah yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang saya belajar di sini.

"Saya juga adalah ahli Kelab Sahabat Perpustakaan dan pernah dinobatkan sebagai peminjam buku tegar dan pernah menyandang jawatan sebagai Exco Akademik Kelab Kejuruteraan Elektrik pada sesi Jun 2018," katanya.

Tambahnya, dia bangga hari ini apabila ibunya, Bok Thai Jee dan ayahnya, Lim Choo Kang turut hadir meraikan hari bersejarah ini.

Justin berkata, buat masa sekarang dia bekerja di AFA Technologies Sdn Bhd di Melaka sebagai Jurutera Automation Software dan baru sahaja melanjutkan pelajaran dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) secara separuh masa.

Seorang lagi penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik Dan Anugerah Pengarah, Nur Amira Natasha Zairol, 23, turut bangga dengan pencapaian cemerlang dalam Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kecekapan Tenaga).

Menurutnya, rahsia kejayaan ialah sentiasa berusaha buat yang terbaik dalam apa juga bidang termasuk aktif dalam kokurikulum.

"Apa sahaja tugas yang diberikan pensyarah, saya buat dan lakukan yang terbaik kerana keikhlasan itu memudahkan kita melakukannya tanpa rasa ragu-ragu.

"Mungkin kerana pegangan itu, Allah SWT mudahkan saya untuklakukan setiap tugasan yang saya anggap sebagai tanggungjawab selagi kita bergelar pelajar," katanya yang kini sudah menyambung pengajian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam jurusan Kejuruteraan Elektronik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 5:28 PM