GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga Indonesia yang juga Orang Kena Tahan (OKT) di lokap Balai Polis Pusat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu, Sarawak meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital selepas mengadu sesak nafas, semalam.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, OKT yang berusia 48 tahun itu ditangkap mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63.

"OKT sudah dituduh pada 1 Mac (Selasa) lalu dan ditempatkan sementara di lokap terbabit. Bagaimanapun, semalam OKT mengadu sesak nafas dan dihantar ke Hospital Bintulu untuk menerima rawatan lanjut.

"Lelaki terbabit disahkan meninggal dunia dan punca kematian masih belum diketahui," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan kes kematian ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 1:02 PM