GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menjalankan siasatan terhadap kes kematian orang kena tuduh (OKT) di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kematian lelaki berusia 37 tahun itu pada jam 4.35 petang.

"Siasatan awal mendapati mangsa ditahan dan direman empat hari mengikut Seksyen 12 (2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Perintah reman dibuat di Mahkamah Kota Bharu. Mangsa ditahan di lokap Balai Polis Pengkalan Chepa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman.

Kematian OKT itu adalah kes kedua dilaporkan selepas seorang OKT berusia 63 tahun meninggal dunia di lokap IPD Taiping pada 13 Januari lalu.

OKT itu adalah tahanan tumpang dari Penjara Taiping yang dituduh pada 18 April tahun lalu.

Susulan kematian OKT berkenaan polis menahan dua OKT dan dua anggota polis bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 11:15 AM