AZRI. FOTO Arkib Bernama.
AZRI. FOTO Arkib Bernama.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang tahanan yang meninggal dunia secara mengejut kelmarin berpunca akibat penyakit jantung atau arteri koronari.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata, keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

"Kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR). Bagaimanapun, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bukit Aman dilaporkan menjalankan siasatan kematian mengejut seorang tahanan ketika menerima rawatan di Hospital Selayang selepas mengadu sesak nafas.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditangkap pada 4.45 petang kelmarin berkaitan kes dadah.

Orang kena tahan (OKT) itu kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun pada 5.30 petang hari sama, OKT mengadu sesak nafas dan pihak hospital dihubungi untuk mendapatkan rawatan.

Sejam kemudian OKT disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 7:28 PM