GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Situasi banjir di Terengganu semakin pulih apabila jumlah mangsa banjir kini menurun kepada 7,281 mangsa.

Setakat jam 4 petang ini, kesemua mangsa daripada 1,818 keluarga ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara di lima daerah.

Ia menunjukkan penurunan berbanding seramai 11,517 mangsa daripada 2,961 keluarga di 50 PPS pagi tadi.

Ketika ini, hanya lima daerah masih terjejas akibat banjir gelombang kelima yang bermula Jumaat lalu iaitu Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Setiu menjadi daerah terbaharu pulih menjadi daripada banjir apabila tujuh mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas PPS berkenaan ditutup jam 10 pagi tadi.

Hulu Terengganu menunjukkan pertambahan mangsa sekali gus merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu seramai 4,846 mangsa daripada 1,213 keluarga dipindahkan ke 19 PPS.

Ia menunjukkan penambahan mangsa berbanding hanya seramai 4,554 mangsa daripada 1,140 keluarga di 18 PPS.

Seramai 1,855 mangsa daripada 462 keluarga masih berada di dua PPS di Kemaman.

Di Dungun, jumlah mangsa juga menurun kepada seramai 525 mangsa daripada 128 keluarga di lima PPS berbanding 1,478 orang membabitkan 399keluarga di 16 PPS.

Sementara itu, seramai 33 mangsa daripada tujuh keluarga berada di dua PPS di Kuala Nerus manakala satu PPS masih dibuka di Kuala Terengganu bagi nenempatkan 22 mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 5:26 PM