Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Mangsa banjir di Terengganu menunjukkan sedikit penurunan apabila hanya 627 orang berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat jam 12 tengah hari ini, semua mangsa daripada 154 keluarga berada di sembilan PPS di lima daerah.

Pagi hari ini, seramai 659 orang daripada 168 keluarga berada di 11 PPS.

Ketika ini, lima daerah masih terjejas banjir iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun dan Besut.

Besut menjadi daerah terbaharu dilanda banjir apabila satu PPS dibuka bagi menempatkan tiga keluarga membabitkan 12 mangsa.

Berdasarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 276 mangsa daripada 61 keluarga di dua PPS.

Bagaimanapun, ia menunjukkan penurunan berbanding pagi hari ini yang merekodkan seramai 305 mangsa daripada 74 keluarga.

Ia susulan penutupan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik dan SK Kampung Baru Kerteh 10 pagi hari ini.

Ketika ini, dua PPS yang masih aktif di Kemaman adalah Dewan Abd Rahman Limbong dan Balai Raya Padang Kemunting.

Di Kuala Nerus, seramai 215 mangsa yang terjejas ditempatkan SK Tok Jembal dan SK Bukit Nanas.

Jumlah mangsa banjir di Kuala Terengganu juga menurun kepada 80 mangsa berbanding 92 mangsa pagi hari ini.

Sementara di Dungun, mangsa banjir kekal seramai 42 orang membabitkan 12 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Tok Kah dan Dewan Sivik Seberang Pintasan.

Banjir di daerah Setiu pulih apabila PPS Balai Raya Kampung Merang yang menempatkan empat mangsa ditutup jam 9.30 pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 2:23 PM