ANTARA lelaki yang ditahan kerana disyaki membuat ugutan. FOTO ihsan Polis
ANTARA lelaki yang ditahan kerana disyaki membuat ugutan. FOTO ihsan Polis
Anis Syuhada Mohd Rosli

Kuala Lumpur: Empat lelaki yang bekerja dengan sindiket pemberi pinjam wang atau 'ah long' ditahan polis kerana disyaki mengugut peminjam yang gagal membayar hutang, semalam.

Kesemua suspek berusia 18 hingga 25 tahun itu ditahan di premis di Bandar Bukit Jalil, di sini pada 4 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Menurutnya, pada 18 Mac lalu, polis menerima laporan daripada mangsa yang juga kakitangan kerajaan.

Katanya, mangsa membuat pinjaman peribadi RM2,000 secara dalam talian.

"Namun pengadu tidak mampu untuk membuat bayaran balik disebabkan kadar bunga pinjaman yang tinggi.

"Akibatnya, keluarga pengadu diugut akan dicederakan melalui beberapa panggilan sekiranya pengadu gagal membayar hutang itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, Mohd Mahidisham berkata, polis menjalankan siasatan dan menahan empat suspek.

Beliau berkata, polis turut merampas 13 telefon bimbit dan sembilan keping kad bank yang digunakan dalam menjalankan kegiatan terbabit.

"Sindiket itu juga sudah menjalankan aktiviti berkenaan antara tiga hingga empat bulan," katanya.

Katanya, semua suspek direman empat hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 3:50 PM