ANTARA rampasan kes sindiket pinjaman wang tidak berlesen dan khianat dengan api serta simbah cat. FOTO Mikail Ong.
ANTARA rampasan kes sindiket pinjaman wang tidak berlesen dan khianat dengan api serta simbah cat. FOTO Mikail Ong.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Empat individu ditahan kerana disyaki terbabit sindiket pinjaman wang tidak berlesen dengan melakukan khianat menggunakan api dan menyimbah cat terhadap harta benda peminjam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak pertengahan Mac lalu dan kini melakukan jenayah di kawasan utara iaitu Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

"Kejadian disyaki dilakukan sindiket along dari Singapura yang mahu menuntut hutang daripada kesemua suspek dan mereka gagal melunaskannya.

"Akibatnya, mereka direkrut untuk melakukan jenayah berkenaan pada kadar upah sebanyak RM700 sekiranya berjaya membakar kereta milik peminjam yang gagal membayar hutang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, kegiatan mereka dibongkar Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam, baru-baru ini, susulan penahanan kesemua suspek di beberapa lokasi berasingan di Perak.

Menurutnya, terdahulu pihaknya menerima aduan daripada seorang wanita berusia 40 tahun mengenai kenderaan Perodua Kelisa milik anaknya, dibakar pada 4.20 pagi, 30 April lalu.

Katanya, semakan mendapati dua lagi kejadian kereta dibakar di Bukit Tengah dan Air itam, di sini, berlaku pada hari sama antara jam 4 hingga 7.30 pagi dengan kerugian dialami mangsa dalam ketiga-tiga kejadian itu kira-kira RM40,000.

"Semakan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) berjaya mengesan kedudukan kereta dinaiki suspek pada Khamis lalu jam 12.05 tengah malam.

"Dua suspek itu terdiri daripada lelaki dan wanita masing-masing berusia 28 dan 22 tahun itu ditahan ketika sedang tidur dalam kereta di tepi Jalan Kuala Kangsar, Taman Hock Huan, Ipoh.

"Pemeriksaan dalam kereta Toyota Yaris itu menemukan pemetik api, pen 'marker', kertas bersaiz A4, rantai kunci rumah dan beberapa resit pembelian minyak di stesen minyak," katanya.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, siasatan terhadap suspek membawa kepada penahanan lelaki dan wanita berusia 28 dan 33 tahun di dua lokasi berasingan di Ipoh.

Katanya, tiga suspek pertama direman selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 Mei manakala suspek keempat direman selama empat hari bermula semalam hingga 10 Mei ini.

Mohd Shuhaily berkata, difahamkan ibu mangsa yang bekerja di negara jiran itu membuat pinjaman wang namun tidak mampu membayarnya sebelum pemberi pinjaman menghubungi peminjam yang masih berhutang dengan sindiket itu bagi melaksanakan jenayah berkenaan.

"Jadi, saya mahu ambil kesempatan ini bagi memberitahu peminjam wang di syarikat tidak berlesen ini adalah menjadi satu kesalahan dan apabila mereka direkrut, ia akan menambah lagi kesalahan kelakuan jenayah mereka.

"Semakan mendapati dua daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 /Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Menerusi kejayaan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan tiga kes di Pulau Pinang dan masing-masing dua kes di Perak dan Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 1:35 PM