AHMAD Zahid. FOTO Bernama
AHMAD Zahid. FOTO Bernama
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Barisan Nasional (BN) berjanji tidak akan membalas dendam kepada mana-mana parti politik lain sekiranya diberi mandat dan mengemudi Johor melalui kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac nanti.

Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, amalan yang tidak sihat itu tidak akan sesekali dilakukan walaupun perkara sama menimpa BN sebelum ini ketika parti lain berjaya membentuk kerajaan.

"Kita bukan jenis yang dipimpin, kita bukan jenis balas dendam. Masalah politik selesai secara politik, masalah perundangan selesai cara perundangan. Jangan guna agensi penguatkuasaan.

"Kalau kita menang besar di Johor ini, saya berjanji dan akan menyatakan kepada Datuk Seri Hasni Mohammad jangan balas dendam kepada mana-mana parti politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Presiden Umno bersama calon dan pengundi BN DUN Parit Yaani dekat Tongkang Pechah, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, rakan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC sememangnya mengamalkan politik matang.

Beliau berkata, keserasian di antara parti komponen BN turut terbukti apabila berjaya mengekalkan kerjasama sejak sekian lama dan terus bertahan sehingga ke hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 7:01 PM