Hasni ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada 26 November lalu. Foto NSTP
Hasni ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada 26 November lalu. Foto NSTP
Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad

Iskandar Puteri: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sebulat suara meluluskan Belanjawan Johor 2021 berjumlah RM1.857 bilion bagi mendepani pandemik Covid-19.

Ia sekali gus menepis spekulasi bahawa sidang DUN hari ini akan berlaku kekecohan susulan perkembangan politik yang melanda Perak, kelmarin.

Belanjawan Johor 2021 dengan tema 'Berdaya Tahan Demi Kemakmuran' itu dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad pada 26 November lalu.

Belanjawan 2021 Johor itu mengalami defisit sebanyak RM248.14 juta, selepas ia merekodkan belanjawan lebihan 10 tahun berturut-turut, sebelum ini.

Hasni Mohammad, ketika membentangkan belanjawan itu berkata, ia berikutan unjuran hasil negeri adalah sebanyak RM1.609 bilion, manakala unjuran perbelanjaan pula berjumlah RM1.857 bilion.

Belanjawan Johor menggariskan 12 agenda utamanya iaitu Johor Tani, Johor Digital, Johor Niaga, Prasarana Johor, Governans Johor, Majestic Johor, Masyarakat Desa Johor, Orang Muda Johor, Johor Madani, Johor Prihatin dan Johor Berkebajikan.

"Ya, belanjawan ini adalah belanjawan defisit. Dalam situasi ekonomi seperti sekarang, kita harus berbelanja lebih daripada biasa, mengikut sumber yang sedia ada dan bersasar.

"Walaupun ekonomi Johor akan mengalami keluk pemulihan berbentuk K, iaitu merujuk sesetengah industri pulih, manakala industri lain terus merudum, kerajaan Johor tetap akan membela golongan terjejas terutama B40 yang terhimpit dengan bantuan bersasar dengan tiada golongan yang akan tertinggal, " katanya.

Semalam, kedudukan Hasni sebagai Menteri Besar didakwa berdepan masalah sekiranya pengundian usul Belanjawan Johor 2021, hari ini gagal mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sekiranya belanjawan itu gagal, kedudukan Hasni yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor bakal tercabar kerana tidak berjaya memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekali gus mengulangi nasib dialami Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Jumaat lalu.

Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti daripada ADUN Perak dalam undi usul percaya terhadapnya, kelmarin.

Dalam undian daripada 59 ADUN, sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya, manakala satu undi rosak atau berkecuali.

Bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian membayangkan Hasni berkemungkinan bakal senasib Ahmad Faizal Azumu sekiranya 12 ADUN Bersatu balas dendam mengusulkan undi percaya.

DUN Johor kini memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu), Amanah (9) dan PKR (empat).

Ia menjadikan kerajaan PN mempunyai 29 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi, manakala majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu di Johor ialah 29 kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 3:55 PM