GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 di Selangor, Putrajaya, Johor, Kelantan dan Kuala Lumpur melebihi 50 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penggunaan katil ICU di Selangor adalah 83 peratus, Putrajaya (83 peratus), Johor (70 peratus), Kelantan (69 peratus) dan Kuala Lumpur (54 peratus).

"Bagi katil bukan ICU, terdapat lima negeri merekodkan penggunaan katil melebihi 90 peratus iaitu di Selangor (118 peratus), Putrajaya (106 peratus), Perlis (98 peratus), Kuala Lumpur (92 peratus) dan Perak (90 peratus).

"Bagi katil bukan ICU melebihi 50 peratus direkodkan di Kelantan iaitu 88 peratus, Terengganu (78 peratus), Pahang (70 peratus), Johor (66 peratus), Sarawak (64 peratus), Pulau Pinang (58 peratus) dan Sabah (51 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, hanya Melaka menunjukkan pengisian lebih 50 peratus bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

"Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 216 pesakit.

"Peratusan penggunaan bantuan itu 24 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk pesakit Covid-19," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat perbezaan antara data harian kemasukan kes Covid-19 ke hospital berbanding kes jangkitan itu kategori 1 hingga 5 yang baru didiagnosa pada setiap hari.

Katanya, ia memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti Covid-19.

"Pada masa sama, terdapat juga kes Covid-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

"Semalam, kes Covid-19 yang dimasukkan ke hospital adalah sebanyak 1,756 kes dan daripada jumlah itu, 724 kes atau 41.2 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 1,032 kes (58.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, negara merekodkan 27,435 kes baharu penularan Covid-19 semalam menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus berkenaan kini meningkat kepada 3,622,607 kes.

"Jumlah yang direkodkan itu membabitkan 27,181 kes tempatan dengan 254 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Daripada 27,435 kes harian, sebanyak 17,495 kes adalah pesakit Covid-19 dalam kategori dua manakala 9,756 kes adalah pesakit kategori satu," katanya.

Katanya, selebihnya bagi kategori tiga terdapat 89 kes (0.33 peratus), kategori empat dengan 53 kes (0.19 peratus) serta bagi kategori lima adalah seramai 42 kes (0.15 peratus).

Katanya, seramai 379 kes memerlukan rawatan di ICU iaitu 122 kes disahkan Covid-19; 257 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan manakala 216 kes memerlukan bantuan pernafasan (73 kes disahkan Covid-19; 143 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

"Daripada jumlah keseluruhan 203 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 43 kes atau 21.18 peratus belum divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan manakala 117 kes sudah menerima dua suntikan vaksin tanpa dos penggalak.

"Sebanyak 43 kes sudah menerima dos penggalak, berumur 60 tahun ke atas (119 kes), mempunyai komorbid (67 kes) dan ibu mengandung (satu kes)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 12:46 PM