GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Enam negeri sudah merekodkan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus.

Kelantan kekal mencatatkan rekod tertinggi dengan 94 peratus penggunaan sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Johor merekodkan penggunaan katil ICU sebanyak 69 peratus diikuti Putrajaya (67 peratus), Kuala Lumpur (62 peratus) dan Perak serta Melaka dengan masing-masing 58 peratus.

Bagi katil bukan ICU, katanya, terdapat 12 negeri merekodkan penggunaan katil melebihi 50 peratus.

"Negeri berkenaan adalah Kelantan sebanyak 108 peratus, Selangor (101 peratus), Putrajaya (95 peratus), Kuala Lumpur (94 peratus), Perak (87 peratus), Perlis (74 peratus).

"Selain itu, Johor sebanyak 70 peratus, Pahang (66 peratus), Sabah dan Pulau Pinang masing-masing 60 peratus, Terengganu (57 peratus) dan Sarawak (56 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hanya satu negeri iaitu Melaka menunjukkan peratusan pengisian lebih 50 peratus bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Menurutnya, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) pula meningkat kepada 193 pesakit dan peratusan penggunaan bantuan itu adalah 35 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 10:47 AM