KEADAAN sebuah rumah yang dinaiki air semasa tinjauan di Kampung Padang Kemunting di sini hari ini. FOTOT Bernama
KEADAAN sebuah rumah yang dinaiki air semasa tinjauan di Kampung Padang Kemunting di sini hari ini. FOTOT Bernama
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila seramai 828 mangsa dipindahkan ke 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah, setakat ini.

Kesemua mangsa daripada 235 keluarga itu terdiri daripada penduduk di daerah Kemaman, Setiu dan Hulu Terengganu.

Sebelum ini, hanya 383 mangsa daripada 114 keluarga ditempatkan di lapan PPS di Kemaman dan Setiu.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Hulu Terengganu menjadi daerah terbaharu dilanda banjir apabila tiga PPS dibuka bagi menempatkan seramai 334 mangsa daripada 82 keluarga.

Tiga PPS berkenaan adalah Kampung Lubuk Periuk yang menempatkan seramai 270 mangsa diikuti Kampung Menerong (16 mangsa) dan Kampung Peneh (48 mangsa).

Daerah Kemaman masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila seramai 345 mangsa daripada 100 keluarga masih ditempatkan di tujuh PPS.

Jumlah mangsa di Setiu turut meningkat apabila dua lagi PPS iaitu Sekolah Kebangsaan Kampung Besut dan Balai Raya Kampung Padang Serai diaktifkan bagi menempatkan kesemua mangsa.

Terdahulu, PPS di Balai Raya Kampung Seladang dibuka bagi menempatkan 47 mangsa daripada 17 keluarga.

Sehingga kini, seramai 149 mangsa daripada 53 keluarga berada di tiga PPS di Setiu.

Terengganu kembali dilanda banjir selepas hujan berterusan sejak semalam sehingga menyebabkan kediaman penduduk dinaiki air dalam banjir gelombang kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 5:51 PM