Foto hiasan
Foto hiasan
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Bimbang abangnya menyalahgunakan sepucuk pistol angin. seorang lekaki bertindak menyembunyikan dan menanamnya di kawasan semak berhampiran rumahnya di Kampung Terap, Banggu di sini, semalam.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 38 tahun itu menyebabkan abangnya berang sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, maklumat awal mendapati lelaki itu menemukan pistol angin berkenaan dalam poket seluar abangnya yang berusia 44 tahun sebelum menyembunyikannya.

Menurutnya, abangnya pula bertanyakan kepada adiknya mengenainya selepas menyedari pistol disimpannya itu hilang.

"Pergaduhan itu menyebabkan abangnya mengalami calar di badan dan kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

"Adik lelakinya itu memberitahu punca sebenar pergaduhan mereka sebelum membawa pihak polis ke lokasi dia menanam pistol angin itu pada 1.15 tengah hari semalam.

"Daripada keterangan awal, abangnya memberitahu pistol itu ditemukan dalam sebuah tong sampah dan menyimpannya sebelum dijumpai adiknya yang bertindak menyembunyikan senjata itu kerana bimbang disalah guna," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 27 Februari dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan mendatangkan kecederaan serta Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 5:25 PM