GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


Jerteh: Hanya kerana salah faham, seorang penjawat awam diserang tiga beranak dalam kejadian di Kampung Padang Luas, Jerteh, di sini, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.15 petang ketika lelaki berusia 58 tahun itu berada di lokasi bagi memantau rumahnya yang masih dalam proses pembinaan.

Menurut sumber, mangsa yang berada di belakang rumah dikejutkan dengan kehadiran tiga beranak yang dikenalinya dengan masing-masing membawa senjata seperti kayu, penyodok pasir dan parang.

Katanya, tiga beranak itu dikatakan menyerang mangsa tanpa menjelaskan tujuan kehadiran mereka sebelum salah seorang daripadanya memukul bahu mangsa menggunakan penyodok pasir

"Mangsa yang bimbang keselamatan diri melarikan diri masuk ke dalam rumah namun suspek yang masih tidak berpuas hati bertindak mengejar lelaki terbabit sehingga berlakunya pergaduhan.

"Pergaduhan itu berjaya dileraikan anak mangsa dan beberapa orang kampung yang kebetulan melalui kawasan berkenaan," katanya.

Sumber berkata, selepas keadaan mulai tenang, salah seorang suspek memaklumkan kepada mangsa mengapa dia bersama anak lelaki dan menantu lelakinya bertindak sedemikian.

Katanya, suspek memaklumkan dia menerima maklumat kononnya mangsa bercadang mahu menyodok pokok termasuk rumah mereka sebaik rumahnya siap sedangkan mangsa hanya bercadang menyodok sedikit pasir untuk dijadikan benteng rumah.

"Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 6:42 PM