Pistol angin bersama barang milik suspek yang dirampas. FOTO ihsan polis
Pistol angin bersama barang milik suspek yang dirampas. FOTO ihsan polis
Rosman Shamsudin


LELAKI berusia 38 tahun ditahan polis di Kilometer 102 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Slim River, malam tadi, kerana memiliki dua pucuk pistol angin.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim yang menjalankan rondaan cegah jenayah menahan Hyundai Sonata dipandu suspek dan pemeriksaan lanjut menjumpai senjata berkenaan.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata, pemeriksaan menemui sepucuk pistol angin dalam sebuah beg di bahagian penumpang.

Beliau berkata, sepucuk pistol angin lagi dijumpai dalam sebuah beg di bahagian tempat letak kaki pemandu bersama ‘ball bearing’ serta ‘gas chamber’.

"Siasatan awal polis mendapati suspek yang berasal dari Chemor, Perak memberitahu pistol angin itu disimpan untuk tujuan perlindungan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 2:32 PM