ALLAHYARHAM Harussani Zakaria. FOTO arkib
ALLAHYARHAM Harussani Zakaria. FOTO arkib
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pernah meminta arwah abah kekal sebagai mufti sehingga akhir hayat," kata Naelah Harrusani, 47, anak kepada Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Anak keempat Allahyarham itu berkata, arwah bapanya pernah memberitahu Almarhum Sultan Azlan Shah pernah berpesan jangan berhenti berkhidmat walaupun bapanya pernah menyuarakan hasrat meletakkan jawatan.

"Abah sudah bersara dan beberapa kali sambung kontrak, jadi abah pernah menyatakan pada Tuanku (Almarhum Sultan Azlan Shah) hendak berhenti agar memberi jawatannya itu kepada orang lain pula.

"Tetapi arwah abah berkata Tuanku Sultan Azlan pernah memberitahu agar jangan berhenti dan kekal mufti sampai akhir hayat," katanya di kediaman keluarga di Kampung Melayu Sungai Rapat di sini, hari ini.

Naelah berkata, mungkin kerana itu adalah permohonan Almarhum Sultan Azlan Shah, maka Sultan Nazrin Muizzuddin Shah juga memperkenankan untuk bapanya terus menyambung jawatan dan kekal mufti sehinggalah ke akhir hayatnya.

"Kami anak-anak ada juga berbincang dengan Timbalan Mufti kerana keadaan abah ketika itu yang sudah tidak berapa sihat dan tidak mampu menggalas tugas.

"Tetapi mungkin itu sudah permohonan dan pesanan Tuanku Sultan (Almarhum), jadi sehingga kini memang tiada apa-apa arahan dari pihak istana," katanya.

Menurutnya, Sultan Nazrin juga membenarkan bapanya menjalankan kerja dan tugas rasmi dari rumah saja.

"Jadi pada ketika itu, untuk surat yang penting mereka semua masih datang hantar ke rumah dan masih datang untuk bertanya pendapat abah," katanya.

Selain itu, katanya, Sultan Nazrin sendiri mungkin sudah menganggap bapanya seperti bapa angkat dan sangat menyayangi arwah.

"Jadi dari tahun sebelum Tuanku Sultan Nazrin berkahwin dengan Permaisuri Tuanku Zara Salim, baginda memang setiap tahun tidak pernah ketinggalan datang ke rumah pada hari raya sehingga pada kali terakhir dua tahun sebelum negara dilanda Covid-19," katanya.

Anak bongsu Mufti Perak, Datuk Ahmad Wafi pula berkata, kali terakhir Tuanku Sultan Nazrin mencemar duli datang pada hari Jumaat seminggu sebelum raya.

"Selepas solat Jumaat, Tuanku singgah sebentar untuk berjumpa dengan abah dan mengatakan dia memang rindu hendak berjumpa dengan abah tetapi keadaan tidak mengizinkan kerana perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Tuanku apabila setiap kali berjumpa dengan abah semasa zaman sebelum Covid-19 mesti akan peluk dan cium," katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Harussani selamat dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya petang semalam.

Harussani, 82, dilantik sebagai Mufti Perak bermula 1985 sehingga kini dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun Pusat.

Antara jawatan disandang termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam, Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks al-Quran, Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 8:12 PM