Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Saya tidak berasa diri hebat dan malah biasa saja, tetapi bersyukur kerana diizinkan Allah membantu abah mengambil wuduk buat kali terakhir sebelum dia meninggal dunia," luah pegawai perubatan kesihatan keluarga, Dr Nur Sakinah Kamarul Bahrin.

Dr Nur Sakinah, 34 memberi reaksi itu ketika diminta berkongsi kenangan terakhirnya dengan Allahyarham bapa tercinta, Kamarul Bahrin Mohamad Jertih, 63 yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada 8.10 malam kelmarin.

Jenazah Kamarul Bahrin yang juga bapa lapan anak dan jurutera perunding selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, pada 11 pagi semalam.

Bercerita lanjut, Dr Nur Sakinah berkata, dia yang melakukan ujian Rapid Test Kit Antingen (RTK-Ag) buat bapanya pada 7 Mei lalu.

"Pada hari itu, saya ke rumah mak dan abah tetapi tidak bersalaman dengan mereka kerana enggan menjadi penyebab memandangkan skop kerja terdedah dengan risiko selain kerap berurusan dengan pesakit di klinik.

"Arwah abah nampak tidak sihat ketika itu dan sebelum pulang, emak beritahu badan abah panas, jadi saya terus pakai pelitup muka serta sarung tangan untuk periksa keadaannya.

"Melihat keadaannya, saya ke klinik untuk mengambil kit RTK-Ag dan Real-Time Reverse Transcription- Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan terus melakukan ujian di situ," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dr Nur Sakinah berkata, seperti dijangka, bapanya disahkan positif Covid-19 dan ujian RT-PCR turut dilakukan kepada ahli keluarga lain yang menjadi kontak rapat.

Beliau berkata, hasil ujian itu mendapati emak, dua adik, adik ipar dan empat anak saudaranya positif Covid-19.

"Emak dan abah dimasukkan ke wad hospital pada 9 Mei lalu untuk isolasi serta rawatan lanjut manakala anak saudara serta adik saya menjalani kuarantin di rumah.

"Rezeki emak kerana dapat menemani abah. Walaupun positif Covid-19, abah kelihatan tenang dan sentiasa memberi sokongan kepada emak dan adik beradik.

"Abah turut bersemangat memakai kurta pemberian saya dan adik beradik pada pagi Aidilfitri walaupun beraya di wad saja, tetapi kesihatannya merosot pada 16 Mei iaitu enam hari sebelum pemergiannya kerana memerlukan bantuan oksigen.

"Cuma, abah seorang yang suka menyembunyikan sakitnya dan sentiasa kata dia dalam keadaan baik apabila ditanya walapun hakikatnya tidak sedemikian," katanya yang kini bertugas dan menguruskan Klinik ANDA di Wangsa Melawati, di sini.

Dr Nur Sakinah berkata, keadaan semakin cemas apabila dia menerima kiriman mesej daripada doktor bertugas pada awal pagi 22 Mei mengatakan bapanya mengadu sesak nafas akibat paras oksigen berkurangan.

Menurutnya, ketika itu, perasaan sedih dan risau bercampur baur memikirkan keadaan abahnya dan kerisauan semakin bertambah apabila menerima panggilan jururawat meminta datang ke hospital.

"Sebaik tiba, doktor menerangkan keadaan abah dan beritahu alternatif, salah satunya rawatan 'intubate' (menidurkan pesakit dengan ubat tidur), tetapi tidak diteruskan kerana didapati ada kebocoran pada paru-paru (pnuemothorax).

"Bagaimanapun, tiub dada membuatkan abah selesa cuma selepas Asar, dia mula tercungap-cungap hingga terpaksa menjalani rawatan intubate dan selepas sejam jantungnya terhenti sebelum sedar semula sebaik diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) selama 15 minit.

"Tetapi, keadaan sama (jantung berhenti) berlaku lagi pada jam 7.40 malam dan doktor cuba menyelamatkannya dengan memberi CPR selama 30 minit, tetapi abah akhirnya meninggal dunia," katanya.

Dr Nur Sakinah yang juga ibu empat anak berkata, detik paling sukar adalah ketika mahu memaklumkan berita pemergian bapa kepada ibunya.

Bagaimanapun, katanya, dia cuba mengumpul kekuatan dan tahu ibunya adalah insan paling sedih kerana tidak dapat menatap wajah bapanya buat kali terakhir.

DR Nur Sakinah sempat membantu arwah bapanya, Kamarul Bahrin mengambil wuduk buat kali terakhir sehari sebelum meninggal dunia. FOTO Dr Nur Sakinah Kamarul Bahrin
DR Nur Sakinah sempat membantu arwah bapanya, Kamarul Bahrin mengambil wuduk buat kali terakhir sehari sebelum meninggal dunia. FOTO Dr Nur Sakinah Kamarul Bahrin

"Alhamdulillah, saya berkesempatan menatap wajah arwah abah buat kali terakhir dan ketika itu, jenazahnya nampak seperti sedang tidur.

"Saya reda dan cuba berlapang dada menerima pemergiannya, malah yakin Allah ambil nyawanya dalam keadaan baik kerana memberi izin untuk abah menemui Ramadan buat kali terakhir serta menyambut Aidilfitri.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang mendoakan arwah abah dan berkongsi kebaikannya di laman sosial, tidak lupa suami (Mohd Arshad Omar, 34) kerana sentiasa memberi sokongan dalam segala hal.

"Di sebalik kesedihan, pemergian abah itu akan menjadi titik tolak untuk saya terus memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bahaya Covid-19 dan kepentingan mengambil suntikan vaksin serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 3:28 PM