Laporan portal Harian Metro semalam
Laporan portal Harian Metro semalam
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengeluarkan notis memberhentikan operasi gondola yang berpusing dalam kejadian angin kencang, semalam.

Pejabat JKKP Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, pihaknya sudah mengeluarkan Surat Larangan Mengganggu bagi dua unit gondola di kawasan kejadian untuk tujuan siasatan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di Menara TS Law, Jalan Kemuning membabitkan gondola yang digunakan dua pekerja syarikat penyelenggara bangunan bagi kerja pembaikan lampu luar di tingkat 18 bangunan terbabit.

"Dua pekerja berada dalam gondola terbuai disebabkan tiupan angin kuat yang menyebabkan gondola berada dalam keadaan tidak stabil dan berpusing, seterusnya melanggar cermin serta struktur luar bangunan.

"Kedua-dua mangsa cedera ringan di tangan," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pegawai penyiasat JKKP Kuala Lumpur dan Putrajaya ke lokasi bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengeluarkan surat larangan berkenaan.

JKKP akan mengambil tindakan perundangan kepada pihak bertanggungjawab sekiranya didapati melanggar peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967.

Pihaknya amat memandang serius setiap kemalangan yang membabitkan pekerja dan orang awam.

"Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko berkesan sebelum pekerja menjalankan kerja. Ini bagi mengurangkan risiko dan mengelak berlaku kemalangan.

"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif iaitu Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," katanya.

Semalam, dilaporkan beberapa pekerja yang berada di dua gondola di TS Law Tower berdepan detik cemas apabila hilang kestabilan sehingga tali hampir terbelit dan bertembung sesama sendiri akibat hujan lebat dan ribut.

Aksi cemas berkenaan tular di media sosial apabila video berdurasi dua minit dan 32 saat itu menunjukkan pekerja terbabit yang berada di atas kren gondola itu hilang kawalan akibat ribut.

Berita berkaitan

Gondola hilang kestabilan 'dipukul' ribut

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 5:32 PM