GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Klang: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor mengeluarkan notis larangan bagi menghentikan aktiviti baik pulih bumbung kilang besi di Taman Perindustrian Bukit Raja di sini.

Ia susulan kemalangan maut yang membabitkan pekerja tempatan, 30 Ogos lalu.

Pejabat Pengarah JKKP Selangor dalam kenyataan memaklumkan notis itu dikeluarkan terhadap majikan berdasarkan siasatan awal yang dilakukan sepasukan pegawai penyiasat, semalam.

"JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

"Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan," kata kenyataan itu.

JKKP Selangor berkata, kejadian itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Terdahulu, kemalangan membabitkan pekerja berusia 22 tahun itu berlaku pada 2.30 petang, 30 Ogos lalu dengan mangsa adalah pekerja am yang melakukan kerja baik pulih bumbung.

Ketika kejadian, mangsa bersama dengan tiga rakan melakukan kerja pembaikan di kilang itu dengan memakai 'safety harness' dan mencangkuk di 'lifeline' yang disediakan oleh pemilik kilang.

"Semasa kerja-kerja memunggah bumbung zink, mangsa bergerak ke arah penyelia projek untuk mengambil bumbung dan mencangkuk 'harness' pada bahagian 'bucket' tetapi terpijak bumbung yang sudah rapuh.

"Mangsa terjatuh dari ketinggian 12 meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 2:36 PM