FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Norzamira Che Noh

Klang: Seorang pekerja am warga tempatan berusia 22 tahun maut selepas terjatuh dari bumbung kilang ketika sedang membaik pulih bumbung berkenaan.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, Isnin lalu, mangsa dikatakan melakukan kerja-kerja membaik pulih bumbung bersama-sama tiga rakannya di sebuah kilang pembuatan besi di Taman Perindustrian Bukit Raja di sini.

Mangsa dikatakan membuka kedua-dua cangkuk keselamatan dan terpijak bumbung yang sudah rapuh menyebabkan dia terjatuh dari ketinggian 12 meter.

Akibatnya mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor mengeluarkan satu Notis Larangan bagi menghentikan aktiviti kerja membaik pulih bumbung di kilang berkenaan.

Pejabat Pengarah JKKP Selangor dalam kenyataan memaklumkan Notis Larangan serta merta itu dikeluarkan terhadap majikan berdasarkan siasatan awal yang dilakukan sepasukan pegawai penyiasat semalam.

Menurut kenyataan itu, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenalpasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab atas kemalangan berkenaan.

"JKKP Selangor akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

"Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan," jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kejadian berkenaan boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 3:15 PM