JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menyumbangkan bekalan makanan haiwan kepada A' Famosa Safari Wonderland di Alor Gajah, Melaka. FOTO Ihsan MAQIS Johor
JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor menyumbangkan bekalan makanan haiwan kepada A' Famosa Safari Wonderland di Alor Gajah, Melaka. FOTO Ihsan MAQIS Johor
Nurul Amanina Suhaini


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menyumbangkan bekalan makanan haiwan kepada A' Famosa Safari Wonderland di Alor Gajah, Melaka.

Inisiatif dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor yang menyediakan pengangkutan.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, menyebabkan penutupan taman haiwan itu dan tiada punca pendapatan.

Katanya, sumbangan itu secara tidak langsung dapat meringankan beban pihak A' Famosa dalam menyediakan makanan kepada haiwan berkenaan.

"Bekalan makanan bernilai RM9,180 merangkumi kubis panjang seberat 4,290 kilogram, 90 kilogram daging lembu sejuk beku, 69 kilogram biji kopi dan produk hasilan ikan sejuk beku seberat 80 kilogram.

"Turut disumbangkan, produk hasilan ikan kering seberat 80 kilogram, enam kilogram susu dan serangga serta ulat sejuk beku seberat dua kilogram.

"Bekalan makanan haiwan yang disampaikan adalah hasil sitaan pengimportan atau pengeksportan keluaran pertanian yang sudah dilucuthakkan kerana tidak mematuhi aspek perundangan seperti mana yang tertakluk mengikut Seksyen 11, 13, 14 dan 15 di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011[Akta 728]," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemberian keluaran pertanian yang dibekalkan kepada mana-mana taman haiwan itu adalah satu daripada cara pelupusan keluaran pertanian yang disita Maqis untuk mengelakkan pembaziran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 11:22 AM