GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Subsidi seharusnya diberikan terus kepada pengeluar ayam, bukannya 30 sen buat integrator dan 30 sen lagi untuk penternak kontrak," kata penternak ayam, Ruhila Mohd Radzuan.

Ruhila, 29, memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai kenaikan mendadak harga ayam di pasaran walaupun kerajaan sudah memberi peruntukan subsidi di peringkat ladang bagi menstabilkan harga.

Ruhila yang membantu mengusahakan ladang bapanya di Tepus, Bachok, Kelantan berkata, agihan subsidi sebegitu menyebabkan ia tidak mencapai sasaran.

"Penternak kontrak tiada kena mengena dengan kenaikan harga makanan kerana semuanya sudah ditetapkan walaupun harga makanan naik. Bagaimanapun, mereka pula yang seperti mendapat durian runtuh.

"Jadi dalam hal ini, kerajaan sepatutnya mendapatkan maklumat dan pandangan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengenai kos menternak ayam mengikut harga makanan terkini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, penternak ayam kampung asli, Syahmi Hafifi, 31, berkata, peningkatan kos dedak salah satu faktor mempengaruhi kenaikan harga ayam di pasaran.

Katanya, dalam tempoh tiga bulan iaitu sejak awal tahun ini saja, harga dedak naik sehingga RM8, ia sekali gus memberi kesan terhadap harga ayam di pasaran, malah kenaikan turut membabitkan anak ayam.

"Difahamkan, masalah kenaikan harga itu membabitkan ayam pedaging di pasaran. Saya pula menternak ayam kampung asli dan masih baru dalam dunia penternakan ini dan sedikit sebanyak terkesan walaupun permintaan ayam kampung asli mempunyai pasaran tersendiri.

"Kos makanan ternakan ayam naik dengan begitu tinggi amat memberi impak kepada penternak dan kasihan pada peniaga di pasar yang tersepit.

"Penternak ayam tiada pilihan melainkan menghadap kenaikan kos memandangkan bahan pembuatan dedak seperti jagung diimport daripada luar negara maka perlu beli (dedak) ikut harga ditetapkan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Syahmi, kenaikan harga dedak yang tidak selaras dengan harga pasaran ayam semasa juga ia memberi tekanan kepada penternak hingga terpaksa menaikkan harga untuk berdepan isu berkenaan.

Dia bagaimanapun tidak menafikan peruntukan subsidi daripada kerajaan untuk penternak satu inisiatif yang baik dalam menstabilkan semula harga, tetapi perlu ada langkah jangka panjang untuk membantu penternak.

"Orang tengah juga perlu memainkan peranan yang baik kerana mereka juga menentukan naik turunnya harga ayam di pasaran," katanya yang mengusahakan ladang ternakan ayam BAM Farm by Ilhamutama di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan

Hari ini, Harian Metro melaporkan isu kenaikan harga ayam di pasaran yang dikatakan naik mendadak menjelang Ramadan berikutan permintaan tinggi walaupun sebelum ini stabil.

Isu dibangkitkan itu mendapat perhatian Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid yang memaklumkan harga ayam tidak sepatutnya dinaikkan kerana kerajaan sudah memberi subsidi di peringkat ladang.

Katanya, bantuan diberi menerusi peruntukan RM300 juta dengan subsidi 60 sen sekilogram bagi menstabilkan harga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 5:44 PM