Idrus Zainal Abidin
Idrus Zainal Abidin
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Bagi menstabilkan harga ayam, kerajaan digesa untuk menggunakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai integrator ternakan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Selangor Idrus Zainal Abidin berkata, terdapat hanya beberapa integrator atau pengeluar ayam berskala besar di Malaysia menjadikan sektor berkenaan tidak kompetitif.

Menurutnya, kebanyakan penternak di negara ini berskala sederhana dan kecil bergantung kepada bekalan anak ayam serta makanan yang dibekalkan integrator.

Katanya, integrator membekalkan anak ayam pada harga antara RM1.80 hingga RM1.90 seekor selain bahan makanan seperti dedak dan jagung termasuk vaksin.

"Apabila kerajaan gunakan GLC seperti Felda dan Felcra sebagai integator untuk bina ladang ayam berskala besar maka harga ayam lebih mudah harga dikawal.

"Kini beberapa syarikat swasta memonopoli industri ini sebagai integrator dan berkemungkinan monopoli harga berlaku seterusnya meningkatkan harga ayam di pasaran," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, di peringkat penternak, mereka hanya menikmati keuntungan 50 sen hingga 70 sen untuk seekor ayam bermula daripada menetas sehingga matang untuk disembelih.

Katanya, Felda dan Felcra mungkin boleh menggunakan tanah terbiar untuk dibangunkan sebagai ladang ayam berskala besar.

"Bukan saja harga boleh dikawal kerajaan, malah ia turut memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

"Penternak berskala kecil juga tidak bimbang apabila harga dikawal kerajaan, malah subsidi yang digunakan kini boleh membangunkan beberapa ladang ayam berskala besar.

"Penternak berskala kecil pasti terhimpit dengan kenaikan kos khususnya dedak diimport dari Brazil dan Argentina yang mengalami tiga kali kenaikan sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Menurutnya, industri ternakan ayam perlu dikawal secara terus oleh kerajaan kerana bekalan bahan mentah ini menjadi pilihan utama rakyat.

Katanya, harga sumber protein laut sudah meningkat mendadak menyebabkan rakyat beralih kepada ayam.

Kelmarin, muka depan Harian Metro melaporkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid mendedahkan kenaikan harga ayam tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan sudah memperuntukkan subsidi dianggarkan RM300 juta bagi menstabilkan harga bahan mentah itu.

Namun, kenaikan harga masih berlaku dan kerajaan kini dalam usaha mengesan pihak yang culas dan mengambil kesempatan mengaut keuntungan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 2:34 PM