Mohd Roji Kawi


Kuching: Iskandar Turkee yang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Jepak, 4 November lalu, mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) hari ini.

Majlis angkat sumpah dilakukan di hadapan Speaker Dun Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar pada 9.10 pagi.

Upacara angkat sumpah yang mendahului persidangan hari pertama Penggal Kedua Dun Sarawak Ke-19 hari ini turut disaksikan barisan anggota Kabinet dan Adun Sarawak yang lain.

Mohamad Asfia dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Iskandar yang memenangi PRK Dun Jepak seterusnya mengangkat sumpah selalu wakil rakyat.

Iskandar yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi kerusi Dun Jepak dengan majoriti 8,784 undi pada PRK itu.

Bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berusia 54 tahun itu meraih sebanyak 9,638 undi mengatasi dua pencabarnya iaitu calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang yang meraih 854 undi dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing yang hanya mendapat 431 undi.

PRK Dun Jepak diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 9:49 AM