Ahmad Hasbi


Seremban: Pemandu bas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas lapan tuduhan menipu mengenai baucar penginapan hotel yang tidak wujud, dua tahun lalu.

Mat Isa Mat Dali, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh dan Norzaliza Tesmindi, dalam dua prosiding berasingan.

Dia dituduh memperdayakan dengan menawarkan baucar penginapan di sebuah hotel terkemuka di Port Dickson yang mana baucar tersebut tidak wujud, hingga mendorong tujuh mangsa memasukkan wang dengan nilai keseluruhan RM5,321.

TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret atas lapan tuduhan menipu, hari ini. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret atas lapan tuduhan menipu, hari ini. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.

Wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan dilakukan di beberapa lokasi di sekitar Nilai dari 20 Julai 2020 hingga 16 Ogos 2020.

Tertuduh turut didakwa atas satu pertuduhan menipu seorang wanita dengan menawarkan perkhidmatan mengeluarkan mangsa daripada senarai hitam bank, di mana perkhidmatan tersebut tidak wujud, hingga mendorong mangsa memasukkan wang RM1,000 ke dalam akaun tertuduh.

Ia dilakukan di mesin ATM Maybank Pekan Mantin, Nilai pada 4.40 petang, 5 Julai 2020.

Semua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun atau dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi dan Nurul Muhaimin Mohd Azman, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM24,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 24 Februari untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 1:46 PM