Mohd Amin Jalil


Seremban: Warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini atas tuduhan menipu urusan jual beli tanah membabitkan kerugian lebih RM2.38 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh, Silvester Doraysamy, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Madihah Hairullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyalahgunakan geran No Hakmilik 464 Gadung Jaya, Mukim Labu seluas 2.461 hektar dan menerima wang hasil jualan sebanyak RM2.38 juta, sedangkan ia bukan hak milik tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah dan Tanah Seremban pada 11 Oktober 2019.

Berikutan itu tertuduh yang menetap di Kampung Gadong Jaya didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

D. Silvester dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menipu dalam urusan penjualan tanah RM2.38 juta. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
D. Silvester dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menipu dalam urusan penjualan tanah RM2.38 juta. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhafiza Harun, manakala tertuduh diwakili peguam, M Siveram.

Terdahulu, pihak pendakwa menawarkan ikat jamin sebanyak RM200,000 bagi pertuduhan itu selain meminta pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Siveram memohon mahkamah mengurangkan kadar jaminan terhadap tertuduh dengan alasan tertuduh sudah hilang pendapatan kerana tidak bekerja selain menghadapi masalah kesihatan.

"Umur anak guam saya juga sudah berstatus warga emas dan tidak mampu untuk membayar wang jaminan yang tinggi, malah dia juga tiada wang untuk jaminan berkenaan. Anaknya yang bekerja sebagai penyelia akan menjaminnya.

"Anak guam saya juga akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak mahkamah," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dan kes disebut semula pada 10 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 1:12 PM