Ahmad Hasbi

Seremban: Suami isteri bersama dua lelaki dan seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan melakukan penipuan jual beli emas menggunakan resit pembayaran palsu secara atas talian membabitkan kerugian RM40,296, Disember lalu.

Tertuduh, Suhaila Yusof, 30, dan suami, Shahzatul Ikmal Maarof, 38, serta Mohamed Harith Yusry Mohamed Rosli, 25, Muhammad Firdaus Roslan, 27, dan Siti Nur Syakirah Salim, 23, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh dan Norzaliza Tesmin.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, kesemua tertuduh didapati melakukan penipuan terhadap pekerja kedai emas di Bandar Prima Senawang di Seremban dengan menggunakan resit pembayaran dalam talian palsu yang menyebabkan kerugian RM40,296.

Perbuatan itu dilakukan pada 27 dan 29 Disember 2021 di kedai emas berkenaan antara jam 1.09 pagi hingga 10.52 pagi.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum setahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebat dan boleh didenda.

TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan menipu urusan jual beli emas membabitkan nilai kerugian RM40,296 tahun lalu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan menipu urusan jual beli emas membabitkan nilai kerugian RM40,296 tahun lalu. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Suhaila juga berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan iaitu menghapuskan harta tipuan emas keseluruhan bernilai RM7,075.80 dengan cara menjualnya kepada Kedai Emas Jumeirah Jewels di Perling Mall, Johor Bahru pada 29 Disember 2021.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi dan Nurul Muhaimin Mohd Azman di dua kamar berasingan.

Peguam Syed Fadil Syed Othman mewakili Suhaila, Shahzatul Ikmal serta Siti Nur Syakirah.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Chrysandy Lai turut mewakili Suhaila serta Mohamed Harith Yusry dan Muhammad Firdaus.

Majistret menetapkan jaminan RM9,500 terhadap Suhaila bagi tiga pertuduhan, RM3,500 terhadap Shahzatul Ikmal dan RM4,000 masing-masing terhadap tiga lagi tertuduh.

Sebutan semula bagi kelima-lima tertuduh ditetapkan pada 19 Januari 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 1:37 PM