Keadaan trafik perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan di Sungkai ke Slim River pada pagi hari ini beriktuan sebuah kenderaan berhenti di lorong kanan lebuh raya. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Keadaan trafik perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan di Sungkai ke Slim River pada pagi hari ini beriktuan sebuah kenderaan berhenti di lorong kanan lebuh raya. Foto Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Keadaan trafik di beberapa kawasan di sekitar lebuh raya utama mula perlahan pada petang ini, berikutan pertambahan kenderaan selepas cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina serta hujung minggu.

Akaun rasmi Twitter, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga 2 petang hari ini mendapati trafik perlahan di laluan arah utara di Lebuhraya Utara-Selatan.

Keadaan trafik juga perlahan menghala ke selatan membabitkan laluan sebelum Plaza Tol Juru, Tapah ke Bidor, Bidor ke Sungkai, persimpangan Tapah ke kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah dan Sungkai ke Slim River.

Kenderaan juga perlahan di Kilometer 202.2 Air Keroh-Simpang Ampat dengan lorong kecemasan terhalang akibat kemalangan kereta.

Sementara itu, keadaan trafik juga perlahan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah ke Kuala Lumpur membabitkan laluan sebelum keluar Plaza Tol Gombak dan dari Lentang ke Bukit Tinggi.

Selain itu, terdapat kemalangan di Kilometer 225.2 Pedas Linggi-Simpang Ampat menyebabkan lorong kecemasan terhalang, namun aliran trafik di lokasi terbabit masih lancar dan terkawal.

Terdapat juga insiden kereta terbakar di Kilometer 41.3 arah Kuala Lumpur di laluan Bukit Tinggi-Genting Sempah menyebabkan lorong kecemasan terhalang, namun trafik di lokasi berkenaan juga masih dalam keadaan terkawal.

Keadaan di selatan Lebuhraya Utara-Selatan masih berada dalam keadaan lancar dan terkawal di kedua-dua arah termasuk di lokasi sekitar plaza tol utama seperti Sungai Besi dan Skudai.

Aliran trafik di timur juga dalam keadaan lancar dan terkawal di kedua-dua arah sepanjang Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan LPT2 termasuk di sekitar plaza tol utama seperti Karak dan Kuala Terengganu.

Terdahulu, tinjauan udara menerusi helikopter oleh wartawan Harian Metro bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman membabitkan laluan menghala ke utara pada 11 pagi tadi mendapati kebanyakan laluan lancar dan terkawal.

Bagaimanapun, aliran trafik dikesan perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan di Sungkai ke Slim River kerana terdapat sebuah kereta didapati berhenti di lorong kanan sebelum kenderaan berkenaan dialih ke lorong kecemasan untuk melancarkan trafik.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMinfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 2:21 PM