Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama masih lancar dan terkawal pada pagi ini.

Tinjauan menerusi akaun rasmi Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sehingga 10 pagi hari ini mendapati trafik lancar dan terkawal di laluan sebelah arah utara dan selatan di Lebuhraya Utara-Selatan termasuk di plaza tol utama seperti Sungai Besi.

Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak juga masih lancar dan terkawal, manakala Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan LPT2 juga masih lancar termasuk di sekitar Plaza Tol Karak serta Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, LLM memaklumkan terdapat kemalangan maut membabitkan motosikal terbabas di Kilometer (KM) 223.6 arah utara Lebuhraya Utara-Selatan, Kuala Kangsar-Changkat Jering pada 9 pagi.

Kemalangan itu menyebabkan lorong kiri laluan berkenaan ditutup, namun aliran trafik masih lancar dan terkawal di lokasi berkenaan.

Selain itu, terdapat kemalangan kereta terbabas di KM350.4 arah selatan LPT2 Bukit Besi-Dungun menyebabkan lorong kecemasan terhalang dan aliran trafik perlahan di lokasi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1800-88-0000 dan laman Twitter di http://www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-887752 serta laman Twitter di http://www.twitter.com/LLMinfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 10:22 AM