Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka berada di negeri ini sehingga esok bagi memperincikan butiran persiapan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sumber Umno berkata, kunjungan kedua pemimpin tertinggi parti itu akan dimulakan dengan pertemuan tertutup bersama Pengerusi Perhubungan Umno Johor Datuk Hasni Mohammad yang juga Menteri Besar.

"Pertemuan tertutup itu akan diadakan di Saujana, di sini pada 8.30 malam ini dengan disertai pimpinan Umno Johor.

"Esok pagi pula, Presiden dan Timbalan Presiden dijangka menyertai Mesyuarat Umno Johor bersama komponen Barisan Nasional (BN) di Bangunan Umno di Jalan Yahya Awal, bagi memperincikan butiran lanjut mengenai PRN Johor.

"Setakat ini, ketetapannya memang Presiden dan Timbalan Presiden akan ke Johor Bahru mulai malam ini, namun ia tertakluk perubahan saat akhir," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Umno dilaporkan mahu bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam PRN Johor yang akan diadakan.

Mohamad dilapor berkata, jumlah itu tidak mengambil kira kerusi Dun bagi parti komponen BN.

Difahamkan mesyuarat pagi esok bersama komponen BN Johor akan membincangkan soal pengagihan kerusi bakal ditandingi BN.

Dalam pada itu, Sumber Umno turut memaklumkan mungkin berlaku pertukaran kerusi antara Umno dengan komponen BN terutama di kawasan majoriti Melayu bagi memastikan parti memperoleh kemenangan lebih besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 10:45 AM