FADILLAH merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu B2 (MyLesen) di Masjid Abyad Taman Matang Jaya Kuching. FOTO Nadim Bokhari
FADILLAH merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu B2 (MyLesen) di Masjid Abyad Taman Matang Jaya Kuching. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kuching: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim sehingga anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) itu ditemukan selamat, hari ini.

Fadillah berkata, dengan kesungguhan semua yang terbabit, anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) itu ditemui dengan selamat selepas 19 hari hilang di kawasan hutan di sempadan Malaysia-Brunei.

"Terima kasih kepada semua yang terbabit terutamanya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang tidak berputus asa mencari anggota tentera kita yang hilang ketika mengiringi kakitangan JUPEM (Jabatan Ukur dan Pemetaan) melaksanakan kerja pengukuran sempadan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Program Bantuan My Lesen kelas (B2) bagi Peringkat Parlimen P.194 Petra Jaya di Masjid Al Abyad, Matang Jaya, di sini, hari ini.

Selain ATM dan ABDB, operasi SAR yang diaktifkan sejak 17 hari lalu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta JUPEM.

Muhammad Syafiq dilaporkan hilang ketika menyertai Op Ukur bersama JUPEM di sempadan Malaysia-Brunei di Limbang pada 18 Jun lalu.

Selain pencarian di darat di kawasan hutan di Ulu Mendalam, Limbang, operasi SAR turut dibantu Helikopter EC 725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta helikopter JBPM.

Muhammad Syafiq yang lengkap bersama peralatan dan senjata ditemui dalam keadaan lemah oleh pasukan SAR pada jam 11.29 pagi ini.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan, berdasarkan maklumat awal, Muhammad Syafiq berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau berjaya menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 4:50 PM