OSMAN berbual dengan Pengarah Tanah dan Galian Johor, Datuk Mohd Halim Hasbullah ketika majlis perasmian restoran hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
OSMAN berbual dengan Pengarah Tanah dan Galian Johor, Datuk Mohd Halim Hasbullah ketika majlis perasmian restoran hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Ibrahim Isa


“SAYA masih Menteri Besar Johor hingga menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar,” kata Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Osman berkata, pada masa sama beliau masih Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU Johor.

“Saya akan mengadakan sidang media selepas menyerahkan surat (peletakan jawatan) kepada Sultan Johor, esok.

“Buat masa ini saya enggan mengulas lanjut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sebuah restoran di Johor Bahru, hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau mempunyai nasihat kepada bakal penggantinya, beliau enggan mengulas dan menyerahkan perkara itu kepada Perdana Menteri dan Presiden BERSATU.

Difahamkan, Osman akan bertemu Sultan Johor di Istana Pasir Pelangi kira-kira jam 8 pagi esok.

Secara teknikalnya, Osman masih Menteri Besar Johor kerana surat peletakan jawatannya belum diperkenankan Sultan Johor.

Selasa lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Osman meletak jawatan sebagai Menteri Besar Johor selepas meneraju kerajaan negeri ini tidak sampai 11 bulan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-16 di Istana Bukit Serene pada 12 Mei lalu susulan kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei 2018.

Ketika dilantik, Osman adalah Setiausaha PH dan BERSATU Johor menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin daripada Barisan Nasional (BN) sebagai Menteri Besar.

Pada PRU lalu, PH memenangi 36 kerusi DUN berbanding BN (19 kerusi) dan PAS (satu kerusi) sekali gus mendapat mandat untuk membentuk kerajaan negeri.

Osman yang bertanding di kerusi DUN Kempas memperoleh 21,137 undi menewaskan calon BN, Datuk Ramlee Bohani (11,959 undi) dan calon PAS, Dzulkifli Suleiman (2,321 undi).

Pengerusi PH Johor dan BERSATU Johor itu pernah dipilih sebagai ADUN Kempas ketika bersama BN selama tiga penggal bermula 1999 hingga 2013 sebelum digugurkan daripada bertanding pada PRU-13.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 5:21 PM