Datuk Seri Hasni Mohammad berucap pada perasmian Ruang Kerja Iskandar Space Common Ground di Medini 6 hari ini. FOTO BERNAMA
Datuk Seri Hasni Mohammad berucap pada perasmian Ruang Kerja Iskandar Space Common Ground di Medini 6 hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Iskandar Puteri: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan senarai calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, calon akan ditampilkan termasuk muka baharu yang terdiri daripada golongan profesional dan orang muda.

"Saya rasa BN mendengar apa disuarakan di bawah, (calon) muka baharu adanya golongan profesional, orang muda yang dianggap harapan masyarakat supaya diberi peluang.

"Kita mendengar saranan dibuat, jadi tunggu sehingga keputusan atau pengumuman itu nanti," katanya pada sidang media selepas merasmikan Common Ground Iskandar Space, di sini, hari ini.

Hasni berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman calon BN untuk PRN Johor.

Ditanya mengenai peratusan muka baharu akan bertanding, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor berkata, ia sukar untuk ditetapkan seperti PRN Melaka memandangkan Johor adalah negeri yang besar.

"Saya rasa Johor ini negeri yang besar, sukar untuk kita menetapkan berapa peratus, seperti di Melaka 80 peratus (muka baharu).

"Tetapi di Johor, sekurang-kurangnya dua kali ganda saiz wakil rakyat yang perlu dikenal pasti, wanita juga bersuara supaya lebih diberi peluang. Jadi itu juga perlu diambil kira," katanya.

Sementara itu, Hasni berkata, BN sedang memuktamadkan perbincangan mengenai pembahagian kerusi bersama rakan komponen MCA dan MIC serta Friends Of BN.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan secara ringkas akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Benut.

"Saya akan meneruskan perjuangan di Benut dan pada masa sama BN akan bertanding di semua kerusi," kata beliau.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor, manakala tarikh penamaan calon bagi ditetapkan pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 9:12 PM