DATUK Hasni Mohammad ketika berucap pada sidang media selepas kemenangan BN pada PRN Johor. FOTO Bernama
DATUK Hasni Mohammad ketika berucap pada sidang media selepas kemenangan BN pada PRN Johor. FOTO Bernama
Luqman Arif Abdul Karim


Johor Bahru: Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan dimulakan menerusi Belanjawan Johor 2023.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, yang sekali lagi memperoleh mandat untuk penggal baharu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut berkata, komitmen itu akan turut diiringi beberapa inisiatif utama lain.

Jelasnya, ia merangkumi reformasi pentadbiran negeri dan usaha membudayakan naratif politik baharu di Johor.

"Saya sedar bahawa amanah yang diberi ini amat besar untuk menerajui pentadbiran negeri dan rakyat Johor inginkan kemakmuran.

"Mereka amat penat dengan ketidakstabilan politik yang melampau, sebaliknya mahu sebuah kerajaan responsif dan komited dalam menjaga mereka.

"Yakinlah bahawa demikian sememangnya hasrat saya. Dengan mandat anda semua, kerajaan negeri akan teruskan memajukan ekonomi, bela yang lemah dan memperkasakan golongan belia," katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO Johor, malam tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi laman sesawangnya setakat tengah malam tadi mengesahkan bahawa BN melakar kemenangan selesa, dengan majoriti dua pertiga iaitu 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor.

Ia diikuti Pakatan Harapan (PH) sebanyak 11 kerusi, Perikatan Nasional (3) dan masing-masing satu kerusi oleh Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tanpa mengira haluan sokongan pengundi, Hasni mengajak semua rakyat Johor untuk berganding bahu bersama pentadbiran kerajaan negeri yang baharu ke arah kemakmuran dan merintis kemajuan secara menyeluruh.

Katanya, hal itu kerana perbezaan ideologi, ahli dan parti politik sewajarnya tidak mengatasi kepentingan membina sosioekonomi Johor Darul Takzim.

"Saya ingin ajak semua rakyat Johor yang sama ada sokong BN atau tidak, untuk bersama-sama memakmurkan dan memajukan Johor Darul Takzim.

"Ingatlah bahawa tiada yang lebih besar daripada Johor Darul Takzim, jika nak dibandingkan dengan ideologi, ahli atau parti politik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 8:21 AM