GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Varian Covid-19 Omicron dikesan di empat bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Sibu dan Kapit dengan jumlah terkumpul setakat ini sebanyak 36 kes.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr David Perera berkata, sebahagian besar kes itu membabitkan penularan dalam komuniti dikesan sejak hujung Disember lalu hingga sekarang.

Menurutnya, varian Omicron mencetuskan kebimbangan kerana mudah menular dalam kalangan masyarakat.

"Justeru semua pihak harus lebih berhati-hati terutama ketika menyambut perayaan Tahun Baharu Cina akan datang.

"Prosedur operasi standard (SOP) kesihatan awam perlu dipatuhi dengan ketat dan perhimpunan komuniti perlu dielakkan bagi mencegah penyebaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan perkembangan penularan Covid-19 bagi Disember 2021 hingga 11 Januari 2022 kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah, hari ini.

Sehubungan itu, Dr David turut menasihatkan orang ramai yang belum mendapat suntikan dos penggalak Covid-19 supaya mendapatkannya dengan segera.

"Kajian menunjukkan dos penggalak perlu untuk meneutralkan penurunan paras antibodi bagi melindungi daripada jangkitan Omicron.

Sementara itu, beliau berkata Delta kekal sebagai varian dominan pada Disember dengan 212 kes dikesan dan enam kes lagi dikesan bulan ini.

"Pada penghujung Disember, kita mula mengesan lapan kes varian Omicron dengan tujuh adalah kes import dan satu kes tanpa sejarah perjalanan.

"Sehingga kini sebanyak 36 kes Omicron dikesan di Sarawak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 4:52 PM